February 2016 | Malay Martial Arts - Silat

Wednesday, February 10, 2016

Pertubuhan Seni Silat Lintau Kelantan (PERSILEK)


Pertubuhan Seni Silat Lintau Kelantan (PERSILEK) ditubuhkan pada tahun 2005 dengan tujuan dan matlamat untuk mengembangkan Silat Lintau Yang Asli lagi tulen seperti yang terdapat di Kecamatan Lintau Buo dan Lintau Buo Utara, Sumatera Barat, Indonesia.

Silat ini dikembangkan di Perak oleh Pandeka Talib yang berasal dari Tigo Jangko, Lintau. Dr Kamal Shah merupakan generasi ke lima yang belajar ilmu ini.

Silat Lintau merupakan Silek Nan Tuo (Silat Yang Paling Tua) yang lahir di alam Melayu/Minangkabau. Ianya adalah pakaian Ninik Mamak orang Lintau. Pada 4 April 2014, bertempat di Jalan Pondok, Pasir Puteh, Kelantan, satu upacara adat bagi merasmikan Gelanggang Pusat telah diadakan.

Kini, ahli PERSILEK mencecah seramai 200 orang di Pasir Puteh dan 50+ orang di Kluang, Johor. Matlamat utama PERSILEK ialah untuk mengembangkan Silat Lintau yang ASLI, yang berasal dari Lintau Buo, yang mula dikembangkan oleh Pandeka Talib di Padang Rengas, Perak.

VIDEO

Silat dekatkan diri kepada ALLAH

Seni silat bukan sekadar permainan atau warisan yang mesti dipertahankan, malah ia sebagai satu kaedah mendekatkan diri kepada agama.

Pertubuhan Seni Silat Lintau Kelantan memainkan peranan tersendiri dengan membuka jalan kepada murid untuk mendekati ALLAH melalui amalan yang diperturunkan sejak zaman berzaman.

Presidennya, Dr Kamal Shah Abdullah berkata, Gelanggang Tuanku Lintau di Jalan Pondok, di sini, merealisasikan hasrat Ahli Waris Yang Dipertuan Bakumih, Sultan Abdul Jalil Muning Shah, Lintau, Indonesia, dengan mengadakan acara ‘Mengisi Adat Menuang Lembaga’.

Katanya, menerusi acara itu, murid diajar mengenai ilmu agama termasuk al-Quran dan tasawuf selain ilmu mengenai adab dan adat Melayu yang wajar diketahui generasi sekarang.

“Kita juga tidak mengajar murid bermusuh dengan sesiapa sahaja, murid diminta berpandukan ajaran Rasulullah SAW sebagai utusan pendamai,” katanya.

Menurutnya, lima jurulatih ‘menyerahkan adat’ dan diterima sebagai Ahli Lembaga Adat Silat Lintau menerusi acara julung kali diadakan itu.

Kamal Shah yang juga Guru Latih Seni Silat Lintau berkata, silat Lintau yang berasal dari negeri Lintau, Sumatera Barat, sejak 1119 Masihi merupakan silat paling tua lahir dalam alam Melayu-Minangkabau.

“Kekuatan seni silat ini dapat digambarkan dengan kejayaan negeri Lintau bebas daripada jajahan Belanda, Lintau merupakan satu-satunya negeri yang tidak pernah dijajah Belanda walaupun dalam tempoh Perang Paderi dari 1825 hingga 1837.

“Pendekar Lintau pada masa silam merupakan hulubalang Raja Alam Minangkabau yang menjaga Istana Pagar Ruyung,” katanya.

Beliau berkata, amat mengecewakan apabila terdapat sesetengah pihak yang mentafsirkan silat hanya sebagai permainan dan budaya bangsa Melayu di Nusantara.

Katanya, silat mengikut kajiannya berkait rapat dengan tawassul dan wasilah di mana dalam ilmu silat, penuntut diajar mendekatkan diri kepada ALLAH dan tidak bergantung kepada yang lain selainNya.

“Ada mengatakan perkataan silat berasal dari ‘silek’ (Minangkabau) yang bermaksud Si Liek atau Si Liat tapi sebenarnya, ia daripada bahasa Arab dan mempunyai akar kata ‘asala’ yang bermaksud sesuatu yang mendekatkan,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines